Tarikh : 12 Mac 2020 (Khamis)
Tempat : Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam Selangor
Tuan Presiden CUEPACS telah sudi menghadirkan diri untuk menyampaikan amanat dan sejarah perjuangan CUEPACS yang faedahnya sedang dinikmati oleh Penjawat Awam masakini. Beliau turut menekankan betapa penting untuk berkesatuan kerana tiada skim lain yang akan memperjuangkan Skim F kecuali skim itu sendiri.
Antara objektif program adalah untuk menyampaikan tujuan penubuhan dan halatuju kesatuan serta menarik lebih ramai keanggotaan, menggalakkan sesi percambahan idea di kalangan PPTM serta memberi peluang kepada peserta untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman juga pengetahuan ICT bagi membantu pelaksanaan tugas harian serta merapatkan silaturrahim dan meningkatkan hubungan networking antara PPTM.

Program turut menyaksikan penyampaian amanat oleh Puan Presiden KPPTM yang menyentuh mengenai halatuju kesatuan, usaha-usaha dan perjuangan KPPTM yang berterusan demi manfaat PPTM. Tiada satu peringkat gred PPTM yang tertinggal dalam perjuangan. Semua peringkat gred PPTM adalah diberi layanan yang sama mengikut keperluan gred tersebut.
Di samping itu, Team MJK KPPTM berusaha menjawab semua persoalan yang berlegar dalam sosial media selama ini bagi menerangkan hal kedudukan sebenar. Perlu ditegaskan di sini bahawa kebanyakan perkara yang diutarakan dalam media sosial lebih bersifat persepsi negatif tanpa mengetahui hal kedudukan sebenar, ianya bertujuan untuk menjatuhkan imej kepimpinan KPPTM, menghilangkan kepercayaan anggota kepada kepimpinan KPPTM dan memecahbelahkan hubungan antara PPTM.
Tujuan penubuhan KPPTM adalah untuk menyatupadukan semua PPTM di bawah satu perjuangan DARI PPTM UNTUK PPTM. Tiada skim lain yang akan berjuang untuk Skim PPTM kecuali PPTM itu sendiri. Adalah menjadi satu kerugian besar jika PPTM sediada berpecah kepada banyak persatuan dan kesatuan … tiadalah lagi suara sokongan padu yang diperlukan untuk kita BERSAMA BERGANDING BERJUANG.
